SIRI KAJIAN HUKUM MUAMALAT

Transcription

SIRI KAJIAN HUKUM MUAMALAT
SIRI KAJIAN HUKUM MUAMALAT (SIRI PERTAMA)
oleh dr. zulkifli bin mohamad al-bakri
Kandungan
PERKARA
MUKASURAT
Kata-kata Aluan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad
4
Mukadimah5
Bab Satu - Pengertian Zakat dan Pensyariatannya
6
• Pengertian Zakat Pada Bahasa
Bab Dua – Hikmah dan Faedah Zakat
8
Bab Tiga - Pelbagai Fatwa dan Hukum Zakat
10
• Pertama: Zakat Harta Kanak-kanak dan Orang Gila
• Kedua: Menukarkan Harta Zakat atau Menggunakannya
• Ketiga: Penggunaan Sistem Metrik dalam Urusan Zakat
• Keempat: Zakat Gaji
• Kelima: Zakat KWSP
• Keenam: Hukum Zakat Rusa
• Ketujuh: Zakat Tanam-tanaman dan Buah-buahan
• Kelapan: Hukum Memindahkan Zakat
• Kesembilan: Zakat Saham
• Kesepuluh: Harta Dikumpul Bertujuan Pengagihan
• Kesebelas: Zakat Tabung Haji
• Kedua belas: Zakat Koperasi dan Syarikat
Bab Empat - Pendapat Ulama dan Majma‟ Fiqh Islami
15
• Pertama: Zakat Hutang
• Kedua: Zakat Wakaf yang Tidak Tertentu
• Ketiga: Zakat bagi Rumah atau Tempat Tinggal
• Keempat: Melantik Seseorang dalam Mengembangkan Harta Wakaf
• Kelima: Zakat Saham dalam Syarikat
• Keenam: Menyegerakan Zakat Sebelum Cukup Nisabnya
• Ketujuh: Mengeluarkan Zakat Tanaman dengan Wang
• Kelapan: Zakat Perhiasan
• Kesembilan: Zakat Anugerah Tamat Perkhidmatan
• Kesepuluh: Kilang-kilang atau Syarikat daripada Hasil Pertanian atau Penternakan
• Kesebelas: Zakat Madu
• Kedua belas: Zakat Harta Awam
• Ketiga belas: Zakat Mustaghallat
Penutup 18
Bibliografi 21
3
Kata-kata Aluan
Ketua Pegawai Eksekutif
Bank Muamalat Malaysia Berhad
Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam yang sentiasa Maha Pemurah dan Maha Penyayang terhadap
makhluk-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, sahabatsahabat baginda serta mereka yang sentiasa mengikuti dan memperjuangkan sunnahnya.
Islam merupakan agama dan pegangan yang harmoni untuk manusia sejagat yang mana telah menetapkan satu
sistem keadilan dan keseimbangan dalam pembahagian harta dan kekayaan tanpa menindas antara satu sama
lain, serta tidak membiarkan golongan miskin dan orang yang memerlukan pertolongan hidup dalam kesusahan.
Justeru itu Islam telah menentukan satu sistem yang dinamakan Zakat bagi mengungkai persoalan ini.
Firman Allah S.W.T. tentang kewajipan berzakat yang bermaksud:
“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat.”
(Surah Al-Baqarah: 110)
Allah S.W.T. telah memfardhukan zakat sebagai salah satu ciri perekonomian Islam, malah zakat juga merupakan
satu peraturan yang tetap yang telah diperintahkan Allah. Walaupun sistem zakat merupakan jaminan Allah
dalam menangani masalah masyarakat, tetapi sejauh mana ia dapat dilaksanakan untuk mencapai matlamatnya
bergantung kepada ekonomi negara, keberkesanan pengurusan zakat dan kesedaran oleh pembayar zakat.
4
Zakat merupakan sumber kekuatan ekonomi masyarakat Islam. Badan yang bertanggungjawab mengumpulkan
zakat mempunyai tugas yang khusus yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. iaitu untuk mengagihkan wang zakat
kepada lapan asnaf sebagaimana yang ditentukan Allah S.W.T. di dalam kitab-Nya. Jika ini tidak dilakukan dengan
mengikut acuan yang betul, masalah kemiskinan akan berterusan. Malah, kemiskinan merupakan salah satu
punca utama kepada kemungkaran dan kepincangan yang sedang berlaku di sekililing kita dewasa ini. Dunia hari ini semakin maju khususnya dalam bidang perniagaan sama ada dalam bentuk syarikat, pasaran
saham, koperasi, dan sebagainya. Implikasinya, bentuk penyata kewangan untung rugi perniagaan tersebut
semakin rumit untuk dibaca dan dianalisa.
Hakikatnya, masih banyak isu berkisar mengenai zakat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Antaranya isu
mengenai zakat ke atas saham, koperasi dan syarikat, serta fatwa-fatwa mengenainya. Adalah diharapkan kemunculan buku ini dapat mendidik masyarakat untuk mendalami serta memahami hukum dan fatwa berkenaan
zakat dengan lebih jelas dan terperinci.
Akhir kata, saya merasa bangga dengan kemunculan buku ini yang dikaryakan oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad AlBakri, salah seorang Panel Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad yang bertungkus lumus untuk menyiapkan
siri pertama berkenaan Muamalat Maliah dengan tajuk Fatwa Zakat Kontemporari. Semoga ia menjadi semangat
serta pendorong kepada kita untuk memahami dan mendalami hukum Islam berkaitan Al-Mal.
Ikhlas,
Dato Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid
Mukadimah
Pengarang
Fatwa Zakat Kontemporari
Islam adalah agama yang bersifat tolong menolong dan lindung-melindungi. Ia merupakan satu cara hidup
yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan memuliakan manusia agar mereka hidup aman bahagia di muka
bumi. Bagaimanapun kebahagiaan manusia hanya akan terlaksana apabila mereka mengetahui akan hakikat
dirinya terlebih dahulu. Lantaran itu, barulah mereka mengetahui bahawa mereka adalah hamba Tuhan yang
Maha Esa, iaitu Allah S.W.T. yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.
Syariat Islam berbeza dengan sebarang undang-undang ciptaan manusia. Ia adalah satu peraturan yang
dapat memenuhi segala keperluan asas dan kepentingan manusia yang bersesuaian dengan jiwa dan
peningkatan tarafnya.
Pensyariatan zakat adalah satu daripada ciri-ciri yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. untuk membentuk
keperibadian manusia, sesuai dengan pra-syarat kebahagiaan sesebuah masyarakat yang harmoni, mahupun
sebagai individu yang menyanjungi kebahagiannya dalam kehidupan ini.
Jika diamati dengan teliti, fungsi zakat ialah mengawasi pendapatan seseorang supaya tidak melanggar
batas keadilan di kalangan mereka. Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al-Syeikh berkata: “Di sini perkara yang
amat penting yang sah untuk dibelanjakan padanya dari zakat, iaitu persediaan kekuatan harta untuk dakwah
kepada Allah S.W.T. dan juga untuk menghilangkan syubhah daripada agama dan ini merupakan sebesarbesar jihad pada jalan-Nya.”
Zakat adalah fardhu dalam rukun Islam dengan ijma’‟. Sesiapa yang mengingkari akan kefardhuan zakat
adalah kafir dengan ijma’‟ sebagaimana pendapat Ibn Al-Sobagh. Menegah daripada keluar menunaikan
zakat boleh diperangi dengan ittifaq para sahabat sehingga mereka menunaikan hak Allah S.W.T. kepadanya.
Tujuan buku kecil ini dikemukakan ialah untuk mendedahkan khazanah ilmiah dari pelbagai sumber dan
rujukan Islam yang telah dikemukakan oleh ulama, sama ada mutaqaddimin dan mutaakhirin sesuai dengan
keadaan masyarakat dan maslahat setempat berubah dari zaman ke zaman mengikut gaya hidup dan uruf
masing-masing.
Suatu penegasan, suka dinyatakan bahawa pendapat dan fatwa ini bukanlah bersifat ilzam yang mesti
dipatuhi dan diikuti, tetapi semata-mata permasalahan ilmiah. Saya berharap kepatuhan kepada keputusan
majlis fatwa negeri hendaklah didahulukan daripada mana-mana pendapat sebagai menghormati institusi
mufti dan fatwa bagi negeri masing-masing.
Akhukum fillah,
Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri
3 Ogos 2011M
Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan
5
Bab Satu
Pengertian Zakat Dan Pensyariatannya
Pengertian Zakat Pada Bahasa
Ibn Manzur menyebut dalam kitabnya Lisan Al-Arab bahawa asas zakat ialah bersih, tumbuh, berkat dan
pujian. Semuanya digunakan dalam Al-Quran dan hadis.
Menurut Al-Raghib Al-Asfahani: “Maksud asal zakat ialah subur yang terhasil dari keberkatan Allah S.W.T.
dan ianya berkaitan dengan perkara dunia dan akhirat.”Dinamakan zakat dengan makna tersebut kerana
pengeluaran zakat untuk mengharapkan keberkatan atau membersihkan jiwa dan menyuburkannya dengan
segala kebaikan dan keberkatan. Perkataan zakat diambil daripada yang bermaksud
“sesuatu itu bertambah dan subur.”
Begitu juga yang bermaksud “tanam-tanaman dan perniagaan subur dan
bertambah.” Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu (dengan iman dan amal kebajikan).”
(Surah Al-Syams: 9)
Al-Qurtubi berkata: “Dengan maksud sesungguhnya telah berjaya siapa yang Allah menyucikan jiwanya
dengan ketaatan.”
6
Menurut ayat tersebut, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada akhlak yang
buruk.
Pengertian Zakat Pada Syarak
Pengertian zakat pada istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu,
yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.
Di dalam Al-Qamus Al-Fiqhi menyebut: Zakat pada syarak ialah pemilikan sebahagian daripada harta yang
ditentukan oleh syarak kepada orang Muslim yang fakir yang bukan di kalangan Bani Hasyim di mana
sebahagian harta dari kalangan orang kaya yang diberikan semata-mata kerana Allah S.W.T. Pengertian zakat
mengikut susunan empat mazhab adalah seperti berikut:
Mazhab Hanafi: Memberikan milik sebahagian harta yang tertentu daripada harta yang khusus kepada individu yang tertentu telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk mendapatkan
keredhaan-Nya.
Mazhab Maliki: Mengeluarkan sebahagian khusus daripada harta yang cukup nisab kepada orang yang
berhak menerimanya, sekiranya sempurna milik dan cukup haul iaitu bagi yang selain daripada harta galian, tanaman dan rikaz.
Mazhab Al-Syafie: Zakat adalah nama bagi sesuatu yang dikeluarkan daripada harta dan tubuh badan dengan cara yang tertentu.
Mazhab Hanbali: Ia adalah hak yang wajib pada harta yang tertentu diberikan kepada golongan tertentu pada waktu tertentu.
Daripada definisi yang dijelaskan di atas, jelaslah bahawa perkataan zakat itu digunakan untuk menunjukkan
kepada perbuatan mengeluarkan zakat itu sendiri iaitu menunaikan hak yang wajib terhadap harta. Ia juga
digunakan untuk menunjukkan kepada sebahagian harta yang telah ditetapkan yang difardhukan oleh
Allah S.W.T. sebagai satu hak kepada orang-orang fakir. Zakat juga dinamakan sebagai sedekah kerana ia
menunjukkan kepada sifat benar seorang hamba dalam melakukan ubudiyyah dan mentaati Allah S.W.T.
7
Bab Dua
Hikmah Dan Faedah Zakat
Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga
penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Antara hikmah dan faedah
tersebut adalah seperti berikut:
Pertama:
Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. dengan sabdanya yang bermaksud:
“Zakat itu tidak mengurangi harta.”
Riwayat Muslim (2588)
8
Persoalannya: Bagaimanakah dikatakan zakat itu akan mengurangi harta, sedangkan Allah memberkati harta yang tinggal dengan sebab berzakat?
Jawapan:
Kedua: Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak
menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.
Ketiga:
Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih
sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang
memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial iaitu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.
Keempat: Zakat memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan
atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang
yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada
mereka.
Allah S.W.T. akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang
memudharatkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah S.W.T. juga menunjukkan cara-cara
untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada
pemiliknya. Di samping itu, Allah S.W.T. memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaan-Nya.
Kelima:
Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.
Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan
dan kesannya yang menakjubkan.
Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
 
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya
dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk.”
(Surah Al-Taubah: 103)
Ibn Abbas menjelaskan bahawasanya setiap kalimah di dalam Al-Quran adalah lebih aula difahami dengan makna zakat yang wajib.
Keenam:
Syeikh Ali Al-Jarjawi dalam bukunya, Hikmah Al-Tasyri’ wa Falsafatuhu berkata: “Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau
memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas
menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada
pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke
penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.”
9
Bab Tiga
Pelbagai Fatwa Dan Hukum Zakat
10
Pertama:
Zakat Harta Kanak-kanak dan Orang Gila
• Kewajipan zakat tidak disyaratkan pemiliknya seorang baligh, berakal dan cerdik
• Maksud wajib zakat harta kanak-kanak dan orang gila ialah harta kanak-kanak dan harta
orang gila wajib dikeluarkan zakatnya. Hal ini tidak bermaksud mereka sendiri yang
mengeluarkannya dan jika tidak melaksanakannya, mereka akan diazab pada Hari Kiamat. Sebenarnya hak zakat yang ada dalam harta mereka yang telah cukup syarat
syaratnya, wajib atas wali kedua-duanya mengeluarkan zakat bagi pihak mereka
• Sekiranya wali-wali tersebut cuai, dalam hal ini merekalah yang berdosa dan mendapat
seksa daripada Allah S.W.T. Jika kanak-kanak dan orang gila tidak mempunyai wali, maka
zakat yang tertunggak menjadi tanggungjawab mereka untuk mengeluarkannya sendiri apabila baligh dan siuman
Kedua:
Menukarkan Harta Zakat atau Menggunakannya
• Ulama tidak berselisih pendapat tentang zakat wang tunai yang dikeluarkan dengan
wang tunai sahaja dan tidak sah pemiliknya mengeluarkan barangan lain yang
menyamainya sebagai ganti. Apabila pemilik harta menyerahkan zakatnya kepada
pemerintah, wakil atau yang lainnya mereka tidak boleh menguruskannya secara yang
terkeluar daripada keadaan yang asal zakat tersebut sebelum menyampaikannya kepada
yang berhak
• Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu’ (6/178), sahabat-sahabat kami berkata:
“Tidak harus bagi pemerintah dan pemungut zakat, menjual harta zakat walaupun sedikit
tanpa keperluan berbuat demikian. Malah mereka hendaklah menyerahkan harta zakat yang asal kepada golongan yang berhak menerimanya.” Ini kerana penerima zakat adalah
golongan yang mengerti dan tidak perlu diuruskan oleh orang lain. Sepakat bahawa zakat tidak halal bagi Bani Hashim sama ada lelaki dan perempuan sekalipun mereka berhak menerima zakat
Ketiga:
Penggunaan Sistem Metrik dalam Urusan Zakat
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama 1981 berkenaan Sistem Metrik dalam Urusan Zakat seperti berikut:
• Ukuran nisab jenis-jenis zakat kepada sistem metrik adalah harus
• Sukatan nisab zakat padi ialah 363 gantang
Keempat:
Zakat Gaji
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional:
• Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Lembaga Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebat zakat ke atas jumlah yang dibayar
• Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan
• Muzakarah bersetuju bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat
• Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2003 berkenaan Zakat Gaji Beserta Kadarnya:
• Asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut
• Dalam kitab Nawazil Al-Zakah, antara lain menyebut: Seseorang yang menunaikan zakat apabila cukup nisab dan haulnya sudah pasti besar pahala, tinggi darjat dan meraikan hak fakir miskin
Kelima:
Zakat KWSP
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1982 berkenaan Zakat Wang KWSP: Wang daripada
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Al-Syafie.
Walaupun begitu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2006 menambah fatwa seperti berikut:
Jumhur ulama berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu
yang sepatutunya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya. Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada tahun 1982 dipinda sebagaimana berikut:
• Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan
wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun
Keenam:
Hukum Zakat Rusa
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1993 berkenaan Hukum Zakat, Korban dan Akikah ke atas Ternakan Rusa:
• Rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan akikah
• Jika diperniagakan, maka dikenakan zakat perniagaan dengan kadar 2.5%
Ketujuh: Zakat Tanam-tanaman dan Buah-buahan
• Tanam-tanaman dan buah-buahan yang wajib dizakatkan adalah yang menjadi makanan asasi manusia dalam keadaan biasa, boleh disimpan lama, dan tidak rosak. Antara buah
buahan yang wajib zakat ialah kurma dan anggur manakala tanam-tanaman pula adalah seperti gandum, barli, padi, kacang dal, kacang putih, jagung dan sebagainya. Sebarang
makanan pada musim kemarau tidak dianggap sebagai makanan asasi. Hal ini berdasarkan
firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya.”
(Surah Al-An’am: 141)
11
Dalam Al-Masail Al-Mustajiddah menyebut dhawabit zakat tanaman:
i. Jenis bijian seperti gandum, sya’ir (sejenis tepung), kacang dan lain-lain.
ii. Jenis buah-buahan yang disukat dan disimpan seperti kurma, zabib (kismis), fustuq (kacang cerdik).
Ini berdasarkan pernyataan Al-Buhuti dalam Syarah Al-Muntaha (2/226): “Wajib zakat pada setiap yang boleh disukat dan ditimbang secara nas.”
Atas asas inilah jenis-jenis tanaman tidak dikenakan zakat:
i. Buah-buahan seperti epal, pisang, limau, durian, salak, duku, langsat, rambutan, belimbing dan lain-lain.
ii. Jenis sayur-sayuran termasuk bawang putih, bawang merah, sawi, kubis dan lain-lain.
iii. Jenis sayuran renek seperti jarjir (sejenis pokok), na’na’ (pudina), khurfus (daun sup), tauge dan lain-lain.
iv. Jenis yang bukan bijirin dan buah-buahan seperti kapas juga tidak diwajibkan zakat.
Kelapan: Hukum Memindahkan Zakat
Memindahkan zakat ke negeri yang lain adalah harus kerana maslahat yang kuat seperti
bantuan bencana atau kefakiran dan sebagainya. Inilah fatwa Syeikh Ibn Jabrin.
12
Dalam kitab Nawazil Al-Zakah mengemukakan banyak pandangan dan ketika mengesahkan dengan menyatakan tidak menjadi kesalahan memindahkan zakat jika ahli ijtihad berpendapat
sedemikian. Ibn Zanjawaih berkata: Mengikut sunnah, pemerintah hendaklah mengutus amil zakat untuk memungut daripada mereka yang kaya dan membahagikan harta tersebut di kalangan orang fakir di sekeliling mereka. Tetapi jika pemerintah berpendapat ada negeri yang
lebih fakir yang amat memerlukan, maka hukumnya adalah harus seperti pendapat mazhab Hanafi, maliki dan dipilih oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah.
Kesembilan: Zakat Saham
Saham-saham yang berasaskan kepada hartanah dan lainnya selama mana bukan yang haram bukan diwajibkan zakat termasuk dalam kategori barang dagangan. Inilah fatwa Syeikh Ibn Baz.
Tanah yang dimiliki seseorang tidaklah diwajibkan keluar zakat kecuali digunakan untuk
perniagaan seperti broker. Ini berdasarkan kepada umum wajib zakat daripada firman-Nya yang
bermaksud:

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan
mensucikan.”
(Surah Al-Taubah: 103)
Kesepuluh:Harta Dikumpul Bertujuan Pengagihan
Harta yang dikumpulkan secara bersama yang digunakan untuk mengagihkan kepada yang perlu
tidaklah dikenakan zakat. Ini kerana harta tersebut dianggap bukan milik mereka tetapi hukumnya adalah sedekah. Inilah fatwa Syeikh Ibn Baz. Seseorang yang tinggal di luar negerinya boleh memilih menunaikan zakat sama ada di tempat tinggalnya atau di negeri asalnya. Justeru, yang afdhalnya ialah melihat kepada maslahat. Inilah pendapat
Syeikh Ibn Husaimi.
Kesebelas:Zakat Tabung Haji
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1979 berkenaan Pembayaran Zakat oleh Tabung Haji:
• Lembaga Urusan dan Tabung Haji diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan
dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya
• Setelah dikeluarkan zakat oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi pihak penyimpan
itu, maka barulah keuntungan bersih dibahagi di antara penyimpan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji berdasarkan peratus yang ditentukan
Kedua belas: Zakat Koperasi dan Syarikat
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1985 berkenaan Zakat Koperasi Shamelin dan seumpamanya: Koperasi wajib mengeluarkan zakat bagi pihak ahli-ahlinya.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1987 berkenaan Zakat ke atas MARA: MARA tidak
wajib mengeluarkan zakat kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna sepertimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 1992 berkenaan Zakat ke atas Syarikat: Syarikat perniagaan diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat berikut:
• Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam
• Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang merdeka
• Sempurna milik
• Cukup nisab
• Cukup haul (genap setahun qamariah/354.3 hari)
• Kadar zakat ke atas syarikat tersebut adalah 2.5%
• Syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang
diperolehi
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2001 berkenaan Zakat ke atas Firma-Firma dan
Syarikat Konsultan: Wajib zakat ke atas firma-firma dan syarikat konsultan, jika dimiliki bersama antara orang Islam sahaja yang kena zakat dan tidak ke atas milik bukan Islam.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2001 berkenaan Zakat Ke atas Syarikat yang dimiliki oleh Berbagai Jenis Pemegang Saham yang Bercampur Muslim dan bukan Muslim: Dikenakan zakat bahagian muslim sahaja.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2001 berkenaan Operasi ke atas Bank-Bank dan Syarikat-Syarikat Perniagaan yang Berlandaskan Syariah yang Syarikat Dimiliki oleh Orang
Bukan Islam: Semua perbankan Islam yang menjalankan pengurusan perniagaan berlandaskan 13
14
syarak wajib mengeluarkan zakat begitu juga semua kaunter yang menjalankan perniagaan berlandaskan syarak yang induknya bukan Islam.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2001 berkenaan Zakat Syarikat/ Anak Syarikat
yang Dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB): Permodalan Nasional Berhad (PNB) memiliki anak-anak syarikat yang tidak disatukan. Masa kini anak syarikat milik PNB tidak dikenakan pada pelaburan perseorangan dan pemegang saham sahaja. Oleh itu, menjadi tanggungjawab PNB memberikan kesedaran kepada pelabur perseorangan supaya membayar zakat untuk mereka, begitu juga PNB sebagai pemegang saham.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2003 berkenaan Zakat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA): ANGKASA wajib mengeluarkan zakat setelah di tolak semua perbelanjaan perkhidmatan, pengurusan dan cukai pendapatan kiranya cukup haul dan nisab dengan kadar 2.5%.
Zakat hendaklah dibayar berdasarkan kepada pendapatan dan keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan apabila mendapat pertumbuhan, perkembangan dan pembesaran berbanding nilai dan modal.
Bab Empat
Pendapat Ulama dan Majma’ Fiqh Islami
Bagi melengkapkan lagi perbincangan berkenaan dengan fatwa dan pendapat ulama fiqh, maka penulis
merasa terpanggil untuk mentelaah dan menekuni pendapat ulama dunia yang kerap kali bersidang di bawah
payung Majma’ Fiqh Islami, Rabitah Al-Alam Al-Islami. Ini kerana pendapat mereka dimukadimahkan dengan
kajian ilmiah dan kertas-kertas kerja yang dikemukakan oleh ramai tokoh cendekiawan Islam, kemudian
diperhalusi dengan muzakarah serta kesatuan pendapat. Hal ini sudah pasti membuahkan natijah yang
muktamad dengan mengambil kira segala maqasid syariah dan maslahat ummah. Dikemukakan di sini
beberapa keputusan yang dikeluarkan:
Pertama:
Zakat Hutang
Keputusan Majma‟ Fiqh Islami Tahun 1985 ialah:
i. Wajib zakat hutang ke atas pemberi hutang setiap tahun jika yang berhutang mudah membayarnya; dan
ii. Wajib zakat hutang ke atas pemberi hutang selepas setahun daripada memilikinya jika yang berhutang sukar dan lambat membayarnya.
Kedua:
Zakat Wakaf yang Tidak Tertentu
Keputusan Majma’‟ Fiqh Islami Tahun 1985 ialah tidak wajib zakat pada wakaf yang tidak tertentu
seperti masjid, madrasah dan untuk orang-orang miskin.
Adapun wakaf kepada golongan tertentu seperti untuk anak-anaknya apabila sudah mencapai
nisab dan segala syarat zakat, maka hukumnya adalah wajib.
Ketiga:
Zakat bagi Rumah atau Tempat Tinggal
Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1989 ialah:
i.
Tempat tinggal yang disediakan untuk mendiaminya tidak wajib zakat secara mutlak;
ii. Tempat tinggal yang disediakan untuk tujuan perniagaan termasuk dalam barang perniagaan,
maka wajib zakat mengikut nilaiannya selepas setahun atau cukup haul;
iii. Tempat tinggal yang disediakan untuk sewaan hanya wajib zakat berdasarkan nilai sewaannya
sahaja; dan
iv. Keputusan yang sama dibuat berkenaan dengan segala rumah dan tanah sewaan
ianya tidak diwajibkan zakat tetapi sewaannya sahaja yang diwajibkan zakat.
Keempat:
Melantik Seseorang dalam Mengembangkan Harta Wakaf
Keputusan Majma‟ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima
zakat atau sebagai ikutan di bawah syarat yang dipertanggungjawabkan dari pengumpulan dan pembahagian zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak
serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian. Wallahu A’lam.
15
Kelima: Zakat Saham dalam Syarikat
Keputusan Majma’ Fiqh Islami pada Tahun 1988 ialah:
i.
Wajib zakat saham ke atas pemiliknya dan boleh pengurusan syarikat mengeluarkannya sebagai wakil berdasarkan peraturan atau undang-undang syarikat atau akta dibuat oleh kerajaan;
ii. Cara pengeluaran zakat saham oleh pengurusan syarikat sama seperti cara yang dilakukan
oleh individu;
iii. Jika syarikat tidak mengeluarkan harta tersebut dengan apa sebab sekalipun, maka wajib ke atas pemilik saham mengeluarkan zakat sendiri;
iv. Jika pemilik saham menjual sahamnya dalam tempoh setahun, dia hendaklah menggabungkan
nilai harganya kepada hartanya kemudian di keluar bersama setelah dikira sebanyak 2.5%; dan
v. Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Abdul Wahab Khallaf, dan Syeikh Abdul Rahman
Hasan bersepakat bahawa nas-nas yang datang berkenaan zakat berdasarkan ‘Qillah
bukan semata-mata ta’abbudi. Atas dasar inilah saham diwajibkan zakat. Lihat Al-Fiqh ala
Al-mazahib Al-Arba’ah (1/605).
Keenam: Menyegerakan Zakat Sebelum Cukup Nisabnya
Ijmak ulama menyatakan bahawa tidak harus menyegerakan zakat sebelum cukup nisab kerana
tidak wujud sebab kewajipannya. Sedangkan jumhur ulama kecuali Mazhab Maliki mengharuskannya.
16
Ketujuh:
Mengeluarkan Zakat Tanaman dengan Wang
Majlis Kibar Ulama Arab Saudi yang bersidang pada 1402 H, memutuskan bahawa pada asalnya
zakat hendaklah dikeluarkan daripada harta yang dizakatkan berdasarkan nas-nas daripada Rasulullah
S.A.W. dalam menghuraikan harta-harta zakat secara terperinci.
Walaupun begitu, ramai ulama mengharuskan dikeluarkan zakat berdasarkan nilai mata wang dan ini tidaklah memberi kemudaratan kepada fakir miskin. Justeru, jika ini membawa maslahat
kepada fakir miskin, maka hukumnya adalah harus dikeluarkan zakat berdasarkan nilai mata wang.
Kelapan:
Zakat Perhiasan
Dalam kitab Al-Masail Al-Mustajiddah menyebut fatwa Syeikh Muhammad bin Ibrahim (4/97)
menyatakan: Jelas menunjukkan tidak wajib zakat perhiasan yang digunakan berdasarkan
kepada hadis dan nas-nas. Walaupun begitu, ia bertukar menjadi wajib berdasarkan tiga syarat:
i.
Digunakan untuk perkara yang haram;
ii. Digunakan untuk perniagaan; dan
iii. Kadar pemilikannya lebih daripada uruf setempat.
Kesembilan:Zakat Anugerah Tamat Perkhidmatan
Keputusan Majma’ Al-Fiqh Al-Islami dalam persidangannya yang ke-16 menyatakan bahawa
tidak wajib zakat anugerah tersebut kerana tidak tahqiq milik yang sempurna. Apabila telah diberi dan diterimanya sekaligus atau beberapa kali, maka jadilah miliknya yang sempurna dan hendaklah digabungkan dengan harta simpanannya yang diwajibkan zakat.
Kesepuluh:Kilang-kilang atau Syarikat daripada Hasil Pertanian atau Perternakan
Dalam buku Al-Masail Al-Mustajiddah, semua perkara di atas termasuk kilang susu dizakatkan sebagai zakat perniagaan.
Kesebelas:Zakat Madu
Ulama telah khilaf berkenaan dengan zakat madu. Dalam buku Al-Masail Al-Mustajiddah menyebut pendapat yang paling rajih adalah diwajibkan zakat dengan kadar sepuluh afraq nisabnya yang
menyamai sukatannya 75 kilogram. Inilah yang telah diputuskan oleh Sayidina Umar Ibn
Al-Khattab yang memerintahkan supaya dikeluarkan sepuluh peratus (10%) daripada nilai madu.
Athram berkata Imam Ahmad ditanya berkenaan dengan zakat madu. Jawabnya: “Ya! Aku
berpendapat demikian kerana telah dilakukan oleh Umar.”
Inilah pendapat Hanafiah, Hanabilah dan qaul qadim bagi mazhab Syafie. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Umar Ibn Abdul Aziz, Makhul, Zuhri, Auza’ie dan Ishak.
Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa madu lebah tidak dikenakan zakat.
Pendapat ini datangnya daripada Malik, Syafie, Ibn Abi Laila, Al-Hasan bin Soleh dan Ibn Munzir.
Alasannya ialah kerana madu adalah cecair yang keluar daripada haiwan dan ianya sama seperti
susu haiwan. Ibn Munzir menyatakan bahawa tiada hadis dan ijmak yang thabit menunjukkan
tentang wajibnya zakat terhadap madu. Lihat Al-Mughni oleh Ibn Qudamah.
Kedua belas: Zakat Harta Awam
Ulama telah khilaf kepada dua pendapat:
i.
Wajib zakat, inilah pendapat Muhammad bin Hasan Al-Hanafi dan dipilih oleh Dr. Muhammad Naim Yasin, Dr. Rafiq Al-Misri, Dr. Abdul Hamid Al-Ba’li, dan Dr. Hasan Al-Bili.
Inilah yang dijadikan Qanun Zakat Sudan; dan
ii. Tidak wajib zakat, berdasarkan pendapat fuqaha terdahulu berkenaan zakat harta awam.
Inilah yang dipilih oleh ramai tokoh ulama semasa dan telah diputuskan dalam Nadwah
ke-13 berkenaan dengan permasalahan zakat semasa oleh kebanyakan ulama.
Ketiga belas: Zakat Mustaghallat
Al-Mustaghallat merupakan harta kekal yang berkembang seperti rumah kediaman, kilang,
kenderaan, ladang ternakan ayam, kapal terbang, kapal laut dan lain-lain. Kesemua harta tersebut merupakan modal berkembang yang mendatangkan keuntungan yang besar kepada
tuan punya harta tersebut. Terdapat dua pendapat yang membezakan permasalahan ini:
i.
Menyatakan tidak kena zakat ke atas Al-Mustaghallat. Pandangan ini adalah pandangan sebahagian ulama antaranya Ibn Hazm, Al-Syaukani, Sidek Hasan Khandan lain-lain.
Antara hujah mereka ialah tidak ada nas yang sorih sama ada daripada Al-Quran dan Al- Hadis yang menunjukkan kepada kewajipan tersebut. Tambahan pula Rasulullah
S.A.W. sendiri telah menetapkan harta-harta yang diwajibkan zakat dan ianya tidak
termasuk Al-Mustaghallat. Begitu juga, para fuqaha tidak menetapkan perkara tersebut. Jika didapati keuntungan daripada Al-Mustaghallat itu, maka harta tersebut kekal sehingga cukup haulnya dan hendaklah dikeluarkan untuknya zakat emas dan perak dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. (Muhammad Al-Said Wahbah & Abdul Aziz Muhammad Rasyid); dan
ii. Diwajibkan zakat ke atas Al-Mustaghallat. Ini adalah pendapat sebahagian ulama
Malikiyyah, Al-Hanabilah, Al-Hadawiyah, daripada Zaidiyyah dan juga pendapat sebahagian
daripada ulama kontemporari seperti Abu Zuhrah, Abdul Wahab Khallaf dan Abdul Rahman
Hassan.
17
Penutup
Betapa pentingnya zakat yang menjadi rukun daripada rukun-rukun Islam yang lima. Sikap Sayidina Abu
Bakar r.a yang tegas memerangi golongan yang enggan membayar zakat sebagai contoh ia tidak boleh
dipisahkan daripada kamus kehidupan muslim, masyarakat dan negara. Ini kerana ia menjadi tonggak
ekonomi umat yang perlu diurus dengan pengurusan yang baik.
Memetik kata-kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi melalui bukunya “Agar Berjaya Muassasah Zakat dalam Penerapan
Masa Kini,” antara lain menyebut: “Dari sini saya katakan sesungguhnya penubuhan lembaga zakat atau
mengeluarkan undang-undang untuk mengatur pemungutan dan pembahagiannya, wajib menjadi satu
bahagian dari langkah yang menyempurnakan pelaksannaan peraturan Islam dan kembali kepada kehidupan
Islam yang benar.”
18
Sesungguhnya peraturan Islam terhadap kehidupan ialah peraturan yang saling bersangkut paut dan
menyempurnakan antara satu sama lain, tidak boleh dibahagi-bahagikan dan tidak boleh diambil
sebahagiannya tanpa sebahagian lainnya, maka adakalanya yang ditinggalkan itu ialah penyempurna atau
syarat bagi yang diambil. Oleh itu, Allah S.W.T. memerintahkan orang-orang mukmin memasuki Islam secara
menyeluruh, menjalankan pengajaran-pengajaran dan syariat-syariatnya secara keseluruhan seperti yang
dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut
langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
(Surah Al-Baqarah: 208)
Keselamatan di sini ialah Islam, kerana ia adalah sumber keselamatan diri dan masyarakat. Ertinya masuklah
kamu ke dalam syariat Islam secara keseluruhannya. Bukanlah seperti yang diiginkan sebahagian Yahudi
untuk memasuki Islam dengan memelihara sebahagian syariat dan tradisi mereka yang kuno.
Maka Al-Quran menolak yang demikian itu kecuali mereka memasuki Islam secara keseluruhannya dan
mengambil semua tali Islam dari syariat-syariatnya. Menjalankan seluruh perintahnya dan meninggalkan
semua larangannya. Inilah tafsiran Ibn Kathir.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menambah berkenaan dengan peraturan zakat yang mahu diterapkannya. Antara lain
katanya: Mengumpulkan penghasilan yang sedikit tidak cukup untuk menghadapi kefakiran yang tersebar
dan masalah-masalah sosial yang lahir di belakangnya dan kelemahan penghasilan ini kembali kepada
beberapa sebab yang lebih penting iaitu:
Pertama: Lemahnya semangat beragama dan kesedaran terhadap Islam di sisi kebanyakan manusia, natijah daripada perang pemikiran asing yang kafir.
Ini kerana manusia melarikan diri daripada membayar zakat kepada negara kerana banyaknya
bebanan daripada cukai-cukai yang lain dan tidak ada kepercayaan mereka terhadap negara- negara yang memungut zakat kerana ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah. Mereka juga mempercayai bahawa tidak akan menyalurkannya pada bentuk yang
dianjurkan seperti kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.
Kedua:
Sesungguhnya majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang mempunyai nilai yang mana boleh menjadi sumber zakat dan itu adalah kesan
bagi cara hidup yang dialami kaum Muslimin pada zaman ini iaitu cara orang-orang kafir
yang diikuti kaum Muslimin sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya dia akan ikut bersamanya, iaitu cara
hidup yang berlebih-lebihan dalam kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahan importnya dari negara-negara asing yang melemahkan sumber-sumber dan
kekuatan kita kepada yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama keduniaan kita.
Ketiga:
Penghasilan yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagian daripadanya untuk kegunaan pejabat,
peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi pekerjaan ini, natijah kesusahan pentadbiran dan tugas dan menitik beratkan keagungan dan penampilan yang menelan harta itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.
Keempat:
Ketika pembahagian terjadi kegoncangan dan kekacauan, dan diharamkan kebanyakan orangorang yang berhak, dan mengambil kebanyakan orang-orang yang tidak berhak menerima zakat.
Yang demikian kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit, sama ada di sisi orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau di sisi rakyat.
Kelima:
Akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir, dan kebencian umum untuk mengeluarkan zakat dan tidak ada faedahnya. Ini menyebabkan keraguan terhadap peraturan Islam seluruhnya. Dengan contoh ini, jelaslah bagi kita bahawa
kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian dari pengajaran-pengajaran Islam dan
hukum-hukumnya, tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit dengan rawatan sempurna.
Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakan kepada perkara yang bermanfaat. Islam memelihara kekuatan dan
kekayaannya, serta usaha umatnya untuk digunakan daripada membeli arak dan bahan-bahan yang memabukkan, dalam permainan dan gurau senda, menghabiskan masa dalam perkaraperkara yang haram dan keji secara zahir dan batin.
Sebagai penutup, suka ditegaskan bahawa zakat boleh dibelanjakan untuk mencetak bukubuku agama, kaset dan cd berkaitan agama bagi tujuan dakwah dan menyebarkan ilmu Islam.
19
Inilah yang diputuskan dalam Majlis Majma’‟Fiqh Islami yang bersidang di Makkah pada tahun 1405 Hijrah
di bawah tajuk fi sabilillah mengharuskannya termasuk di bawah dakwah kepada Allah. Hal ini bertepatan
dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang
dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si
penerima).”
(Surah Al-Baqarah: 262)
Diharapkan semoga buku ini sedikit sebanyak dapat menjelaskan isu dan permasalahan zakat kepada
khalayak, khasnya umat Islam dan seterusnya dapat mengamalkan segala nilai mulia hingga akhirnya
menjadi hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini. Amin.
20
Bibliografi
Abu Bakar Muhammad bin Abdullah (Ibn Al-Arabi). 2006. Hukum-hukum dalam Al-Quran. Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM).
Al-Syeikh Sa’ad bin Abdullah Al-Barik. 1999. Fatawa Ulama’ Al-Balad Al-Haram, Himpunan Al-Syeikh Sa‟ad
bin Abdullah Al-Barik.
Al-Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Husin bin Umar. t.th,Bugyatu Al-Mustarsyidin. Damsyiq: Dar
Al-Fikr.
Al-Sayyid Sabiq, Feqh Al-Sunnah. 1996. Damsyiq: Dar Al-Fikr.
Al-Syahid Sayyid Qutub Rahimahullah. 2000. Tafsir fi Zilal Al-Quran (Di Bawah Bayangan Al-Qur’an). Pustaka
Aman Press Sdn. Bhd.
Atiah Saqr. t.th. Al-Fatawa. Kaherah: Maktabah Al-Taufiqiah.
Abdullah bin Abdul Rahman Al-Bassam. 2003. Taudih Al-Ahkam min Bulugh Al-Maram. Maktabah Al-Asadi.
Dr. Muhammad Al-Zuhaili. 2007. Al-Mu’tamad fi Al-Fiqh Al-Syafie. Damsyiq: Dar Al-Qalam.
Dr. Muhammad Al-Zuhaili. 2009. Mausu’ah Qadhaya Islamiah Mu’asirah. Damsyiq: Dar Al-Maktabi.
Dr. Abdullah bin Mansur Al-Ghufaili. 2008. Nawazil Al-Zakah. Riyadh: Bank Al-Bilad.
Syeikh Jadal Haq Ali Jada Al-Haq. 2004. Buhusun wa Fatawa Islamiah fi Qadhaya Mu’asirah. Kaherah: Dar
Al-Hadith.
Dr. Ahmad Al-Syarbasi. 1995. Yas’alunaka Fi Al-Din Wa Al-Hayah. Jami‟ Al-Huquq Mahfuzah li Dar Al-Jil.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. 2004. Agar Berjaya Muassasah Zakat dalam Penerapan Masa Kini. Jasmin
Enterprise.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. 1995. Fatwa Mu’asarah (Fatwa Masa Kini). Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Dr. Muhammad Uqlah. 1982. Ahkam Al-Zakah wa Al-Sadaqah. Amman: Maktabah Al-Risalah Al-Hadithah.
Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha & Dr. Ali Al-Syarbaji. 2003. Al-Fiqh Al-Manhaji (Manhaj Fiqh AlSyafi’i). Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri.
21
Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf. t.th. Fatawa Syariah. Darul I’tisam.
Imam Yahya bin Abi Al-Khair bin Salim bin As’ad bin Abdullah Ibn Muhammad bin Musa bin Umran AlUmrani. 2002. Al-Bayan fi Fiqh Al-Imam Al-Syafie. Dar Al-Kitab Al-Ilmiah.
Aiman bin Sa’ud Al-Anqari. 2009. Al-Masail Al-Mustajiddah fi Nawazil Al-Zakah Al-Muasirah. Riyadh: Darul
Maiman.
Abdullah bin Mansur Al-Ghafili. 2008. Nawazil Al-Zakah Dirasah Fiqhiyyah Ta’siliyyah li Mustajiddat Al-Zakat.
Riyadh: Darul Maiman.
Sa’di Abu Jaib. 1988. Al-Qamus Al-Fiqhiyyah Al-Lughah wa Istilah. Damsyiq: Dar Al-Fikr.
Dr. Wahbah Al-Zuhaili. 1984. Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh. Damsyiq: Dar Al-Fikr.
Ibn Qudamah Al-Maqdisi. t.t. Al-Mughni wa Al-Syarh Al-Kabir. Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah.
Ibn Rusyd. 2000. Bidayah Al-Mujtahid wa Nihayah Al-Muqtasid. Beirut: Dar Al-Ma‟rifah.
22
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
2009. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Siri 1. 2007. Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM).
Keputusan Muzakarah Majma’ Fiqh Islami. Rabitah Al-Alam Al-Islami.
Dicetak oleh:
Percetakan TM Sdn Bhd
No. 8, Jalan Tembaga SD 5/2H Sri Damansara Ind.
Park52200 Kuala Lumpur
Tel No : 03-62776223 / 03-62743227