[first - 14] bh/dalam_negeri/pages 10/01/15

Transcription

[first - 14] bh/dalam_negeri/pages 10/01/15
Berita Harian | Sabtu, 10 Januari 2015
14
Berita
SETEMPAT
PROGRAM DIPLOMA INTERNATIONAL BACCALAUREATE (IBDP)
Pelajar kongsi rahsia capai keputusan
cemerlang dalam program Baccalaureate
ENUR FADHILAH SALLEH
[email protected]
PENDEDAHAN yang mematangkan fikiran dan semangat sekolah yang membuat
pembelajaran menyeronokkan adalah antara faktor yang mendorong pelajar Singapura mencapai keputusan cemerlang dalam
peperiksaan Program Diploma International
Baccalaureate (IBDP) tahun lalu.
Singapura meraih keputusan terbaik di
rantau Asia-Pasifik bagi IBDP tahun lalu.
Dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini, Singapura meraih markah purata 36.43 mata.
Markah purata yang dicatat pelajar Singapura lebih tinggi berbanding markah purata global sebanyak 29.94 mata dan markah purata Asia-Pasifik sebanyak 34.41 ma-
ta.
Mata keseluruhan yang diraih merangkumi keputusan enam mata pelajaran (tiga
subjek pada peringkat tinggi dan tiga lagi
subjek pada peringkat standard), esei 4,000
perkataan mengenai topik pilihan bagi komponen Esei Lanjutan dan esei 1,600 perkataan bagi komponen Teori Ilmu (TOK).
Mata tertinggi yang boleh diraih bagi setiap mata pelajaran ialah tujuh manakala mata bonus tertinggi bagi komponen esei dan
TOK ialah tiga.
Pelajar IBDP juga dikehendaki meluangkan 150 jam dalam tempoh dua tahun
melakukan kerja kemasyarakatan bagi komponen Kreativiti, Tindakan dan Perkhidmatan.
Seramai 1,072 pelajar Singapura menduduki peperiksaan itu November lalu.
Berita Harian menemui tiga pelajar mengenai jaluran pendidikan mereka menerusi
IBDP.
Almira Farid, 18 tahun, merupakan pelajar Sekolah Kesenian Singapura (Sota). Kohortnya seramai 112 pelajar itu mendapat
kelulusan 100 peratus.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut
Sota mencapai kelulusan 100 peratus itu.
Pelajar Sota mengikuti pengajian selama
enam tahun selepas lulus Peperiksaan Tamat
Sekolah Rendah (PSLE).
“Sota mengajar saya bahawa tidak ada
pemisahan antara akademik dengan seni.
“Semangat komuniti Sota sungguh mesra. Para guru dan teman sekolah sentiasa sedia membantu.
“Sejak hari pertama lagi, Sota telah menekankan pendidikan holistik yang tidak
memisahkan antara bidang akademik dan seni,” ujarnya.
Bagi sekolah St Joseph’s Institution (SJI),
ini merupakan kohort perintisnya. Pelajar
SJI mengikuti program prauniversiti selama
dua tahun sejak 2013.
Salah seorang daripada mereka ialah
Hud Syafiq Herman, 18 tahun, yang memilih ke SJI selepas lulus GCE Peringkat ‘O’.
Beliau dapat meluputkan rasa khuatir di
peringkat awal semasa memulakan pengajian.
“Semangat Josephian itu sungguh meriah
dan saya seronok ke sekolah. Guru-gurunya
berdedikasi dan sedia membantu.
“Oleh kerana kohort kami kecil, ia rasa
bagaikan keluarga,” kata Hud Syafiq.
SJI mempunyai kohort seramai 76 pelajar. Ia juga mempunyai kadar kelulusan 100
peratus.
Seorang pelajar dari Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACSI), Iskandar Abdullah,
mengikuti Program Bersepadu (IP) yang
membolehkannya melanjutkan pelajaran
hingga ke IBDP tanpa perlu menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’.
Daripada jumlah 449 pelajar ACSI IBDP
tahun lalu, 34 pelajar menerima markah
penuh.
Bagi Iskandar, 18 tahun, ACSI membantu memperluaskan pemikiran dan memberinya peluang menjadi pemimpin.
“Walaupun tahun terakhir paling mencabar, kami mengatasi tekanan dengan bermain bola sepak bersama. Itulah antara
kenangan termanis saya di ACSI,” kata beliau lagi.
Muzik jadi pendorong untuk ‘memahami dunia’
BAGI Almira Farid, muzik memberinya perspektif
baru memahami dunia.
“Muzik merentasi budaya dan bahasa. Ia dapat
menyentuh dan mempunyai sifat katarsis (memberi
kelegaan emosi),” ujar Cik Almira, 18 tahun.
Almira mendapat 43 mata dan berharap dapat
melanjutkan pelajaran ke School of Oriental and African Studies di London. Beliau berminat menggabungkan muzik daripada pelbagai latar.
Antaranya ialah lagu yang bertajuk Lost In The Forest yang menggabungkan gitar elektrik dan gamelan.
Beliau mendapat ilham daripada puisi Pablo Neruda yang mempunyai tajuk sama.
“Saya dilatih dan diajar muzik bertradisi klasik Barat tetapi saya juga terpengaruh dengan muzik dari nusantara, khususnya dari Indonesia. Saya turut dapat inspirasi daripada legenda Jawa,” ujarnya.
Seorang periang, Almira menggunakan pengalaman pahit bagi ilham bagi lagunya, bertajuk From Zenith to Horizon.
“Matematik adalah subjek yang mencabar bagi
saya. Namun, saya gunakan konsep navigasi angkasa
bagi ilham bagi lagu itu,” katanya.
Di Sota, Almira menyertai Program Perspektif Global (GPS). Sebagai sebahagian program itu, beliau ke
Sumatera Utara untuk membantu usaha penghutanan
semula di Taman Negara Gunung Leuser selama 16
hari pada Mei 2013.
Daripada pengalaman itu, beliau terdorong
menubuhkan kelab alam sekitar – The Green Beans –
di Sota bersama dua lagi kawan.
“Saya ingin memberi kesedaran kepada teman-teman sebaya tentang kawasan-kawasan hijau Singapu-
ra. Oleh itu saya dan kawan-kawan dilatih menjadi pemandu alam dan membawa mereka mengenali alam sekitar.
“Sejak kecil lagi saya memang gemar alam semula
jadi. Apabila umur saya sekitar empat tahun, ibu membawa saya mendaki gunung.
“Oleh itu, saya telah diberi pendedahan kepada
alam sekitar. Oleh itu, kami ingin mendedahkan alam
sekitar kepada teman-teman.
“Kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta,”
kata Almira yang menjadi presiden Akademi Kepimpinan – iaitu badan kepimpinan pelajar Sota.
Beliau juga menjadi ketua bagi Jawatankuasa Pengajian Kepimpinan (LSC).
Ditanya apakah nasihatnya untuk pelajar, Almira
berkata:
“Kalau ada keraguan, tanya sahaja. Hilangkan rasa
takut dan bertanya supaya dapat belajar.”
Semasa menuntut di Sota, beliau menerima anugerah biasiswa Ngee Ann Kongsi selama tiga tahun.
“Keputusan itu bukan segalanya. Prosesnya itu turut penting dan saya seronok selama enam tahun di Sota. Kami diberi peluang membuat inisiatif sendiri seperti konsert pengarang yang pelajar sendiri merancangkan,” katanya.
Anak kedua seorang ibu tunggal, Almira berkata
ibunya yang bertugas sebagai pensyarah dalam pendidikan alam sekitar merupakan inspirasi terbesarnya.
“Selepas perceraian, ibu berhenti bertugas sebagai
peguam supaya memastikan kami adik-beradik stabil
dari segi mental dan emosi.
“Kehadirannya sahaja sudah mencukupi. Ibu banyak berkorban buat kami,” ujar Almira.
MUZIK BERI PERSPEKTIF BARU: Bagi Almira Farid, muzik dapat memberi kelegaan emosi. Walau terlatih dengan muzik tradisi klasik
Barat, Almira terpengaruh dengan muzik nusantara dan mendapat inspirasi daripada legenda Jawa. – Foto M.O. SALLEH